An-Najaah yang diasaskan oleh Ustaz Syed Ali Al-Mortadha bersama Puan Syarifah Faegah Al-Habshee secara rasminya dibuka pada 3 Mac 1996 bertempat di Jalan Telok Wanjah, Alor Setar, Kedah sebagai Tadika An-Najaah. Nama "An-Najaah" dipilih bersempena dengan maksudnya dalam Bahasa Arab, iaitu “Kejayaan & Kemenangan (Success & Victory)”, satu harapan besar dalam membawa pendidikan Islam kepada masyarakat setempat.
Pada awal penubuhannya, jumlah pelajar hanyalah 13 orang dengan 4 orang guru. Namun berkat usaha, doa dan sambutan yang sangat menggalakkan dari para ibu bapa, jumlah pelajar semakin bertambah dari tahun ke tahun.
Atas permintaan masyarakat yang tinggi, pada tahun 1998, sebuah sekolah rendah pula ditubuhkan di Jalan Langgar, yang merupakan kediaman anak bekas Gabenor Pulau Pinang pada ketika itu. Pada masa tersebut dimulakan dengan satu kelas sahaja untuk tahun satu dan merupakan penuntut pertama yang mengambil peperiksaan UPSR. Menjelang tahun 2003, jumlah pelajar mencecah 606 orang dengan lebih 62 tenaga pengajar, termasuk staf akademik dan bukan akademik. Perkembangan ini membuka ruang untuk penubuhan beberapa cawangan Tadika An-Najaah seperti di Arau (2000), Sungai Petani, Selayang (2004) dan Kuching (2005).
Dalam tempoh 10 tahun penubuhannya (sehingga 2006), An-Najaah berjaya mengembangkan sayapnya dengan penuh kebanggaan. Daripada hanya satu lokasi asal, kini telah wujud rangkaian tadika dan sekolah rendah yang menyantuni ratusan pelajar serta melibatkan lebih daripada 59 orang guru.
An-Najaah ajar si kecil hafal surah
Oleh Ihsan Noorzali
ANAK dilahirkan tanpa mengerti apa-apa. Mereka ibarat kain putih yang belum dicorakkan dan menjadi tanggungjawab ibu bapa membentuk atau mencorakkan mereka. Ibu bapalah yang menentukan sahsiah anak sama ada memberi pendidikan rohani dan keagamaan, ataupun lebih bertumpu kepada pendidikan sekular. Apa lagi dalam kehidupan hari ini yang banyak dipengaruhi pelbagai gejala negatif, sememangnya memerlukan komitmen ibu bapa bagi menanam nilai murni dan didikan sebaik mungkin untuk anak-anak.
Kebanyakan ibu bapa menghantar anak ke taman didikan kanak-kanak sebelum mereka memasuki sekolah rendah. Daripada ratusan tadika yang ada di Kedah, wujud tadika berkonsepkan pembelajaran Islam. Menariknya, selain belajar agama, tadika itu mendidik si kecil sekitar usia empat hingga enam tahun, menghafal surah al-Quran. Tadika An-Najaah di Jalan Teluk Wanjah, Alor Star dibuka pada 1996 oleh Syarifah Faegah Syed Hussein, 42, bersama suaminya, Syed Ali Al-Tahir Syed Ibrahim, 50, lulusan Universiti Al-Fateh, Tripoli.
Syarifah Faegah berkata, idea membuka tadika Islam itu timbul apabila adik iparnya, Syed Hamid membuka tadika seumpamanya di Brunei. Ketika itu, Syarifah Faegah, lepasan Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai mengajar di Sekolah Menengah Tunku Bendahara sekitar 1981 dan pada 1984 beliau berkahwin lalu mengikut suaminya yang belajar sambil mengajar di Libya.
"Sekembali dari Libya, saya ke Brunei mengikut suami yang mengajar di Maahad Islam Brunei dan saya mengajar di Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Pada Disember 1995, kami mengambil keputusan pulang ke Malaysia dan dalam keadaan anak masih kecil, keinginan membuka tadika semakin kuat," katanya yang kini dibantu suami serta 45 guru.
Pada 1998, beliau membuka Sekolah An-Najaah di Jalan Langgar, di sebuah rumah besar. Pemilik rumah itu yang tinggal di Kuala Lumpur membenarkan beliau menggunakannya secara percuma kerana mahu membantu usaha mengembangkan pendidikan Islam.
"Rumah ini milik anak bekas Gabenor Pulau Pinang, Allahyarham Tun Syed Sheikh Barakhbah dan bangunan tadika pula adalah rumah milik keluarga yang disewakan RM600 sebulan," katanya.
Beliau berkata, kanak-kanak yang memasuki tadikanya seawal usia empat tahun dan mereka diajar menghafal ayat Qursi dan surah Yasin setiap pagi bagi membina sahsiah Islamiah. Wakil Wanita dan Keluarga yang menyaksikan perhimpunan kanak-kanak di Tadika dan Sekolah An-Najaah kagum dengan komitmen gurunya yang diketuai Syed Ali, antaranya Khairul Umri Maksum, 32; dari Medan, bekas guru sekolah kerajaan, bekas jururawat, lepasan Universiti Al-Azhar serta seorang lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kanak-kanak Tadika dan Sekolah An-Najaah menghafal surah Al-Waqiah, Surah Yassin dan berselawat beramai-ramai menggunakan pendekatan tayangan layar.
"Kalau ada orang meninggal dunia di sekitar Alor Star dan menjemput murid saya membaca Surah Yassin, mereka pergi untuk membacanya secara hafalan dan ia sebagai khidmat kemasyarakatan," katanya.
Tadika An-Najaah menawarkan pakej waktu antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, 8 pagi hingga 2 petang serta 8 pagi hingga 4.45 petang bagi memudahkan ibu bapa yang bekerja mengatur waktu mengambil anak mereka.
"Murid belajar dari jam 8 pagi hingga 4.45 petang dan tidak dibenarkan tidur seperti di pusat asuhan biasa. Pada sebelah petang, kanak-kanak diajar solat Zuhur serta mengaji al-Quran menggunakan kaedah Iqra' selepas makan dan mandi. Yang penting, kami ingin mendidik anak yang diamanahkan kepada kami itu menjadi insan beriman dan berakhlak mulia serta menghormati ibu bapa apabila berada di rumah," katanya.
Syarifah Faegah berkata, beliau dan guru lain mendidik anak kecil itu seperti anak sendiri kerana mahu mereka menjadi insan cemerlang kepada agama, negara dan keluarga. Beliau berkata, yuran dikenakan agak tinggi bagi memastikan pihaknya dapat membeli pelbagai peralatan pendidikan bermutu, menyediakan kelas berhawa dingin serta berpadanan dengan bilangan guru yang mampu memberi perhatian sepenuhnya kepada pelajar. Sama ada kanak-kanak tadika atau sekolah, mereka diajar berdisiplin antaranya menghafal surah pada jam 8 pagi sebelum kelas dimulakan. Selain itu, mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik turut diajar. Tadika dan Sekolah An-Najaah mempunyai 554 pelajar yang menduduki tadika, tahun satu hingga empat, yang semuanya berusia empat, lima dan enam tahun.
"Kami jangka menghadapi masalah tempat pada tahun depan, apabila pelajar baru masuk," katanya.
Ketika ditubuhkan, tadika itu hanya disertai 12 kanak-kanak. Kini, semakin banyak permohonan memasuki tadika dan sekolah berkenaan diterima daripada ibu bapa yang ingin melihat anak mereka menghafal surah Yasin serta ayat suci, walaupun baru berusia lima tahun.
Katanya, sumbangan kewangan amat diperlukan sama ada daripada syarikat mahupun individu bagi membesarkan bangunan Sekolah An-Najaah kerana tahun depan jumlah murid semakin ramai.
Pihak yang berminat menyumbang boleh menghubungi Syarifah Faegah melalui nombor 04-7321731 atau 04-7329317.
Petikan penuh daripada keratan akhbar tanpa mengubah teks asal.
Majlis ulang tahun ke-10 An-Najaah telah diraikan pada 25 Mac 2006 di Hotel Seri Malaysia Alor Setar. Majlis ini mempertemukan semua kakitangan, termasuk bekas guru, sebagai tanda penghargaan kepada semua yang telah menyumbang kepada pertumbuhan sekolah dari awal penubuhan.
Bukan sekadar institusi pendidikan, An-Najaah juga membuka peluang pekerjaan kepada graduan sekolah agama dan warga emas yang ingin menyumbang dalam bidang pendidikan Islam. Sekolah ini turut menjalin hubungan dengan sekolah-sekolah kembar antarabangsa seperti:
Al-Falaah (Brunei Darussalam)
Al-Amin dan Al-Iman (Singapura)
Nusa Laila Puteri (Brunei Darussalam)
Selama hampir tiga dekad, An-Najaah telah membentuk generasi yang bukan hanya cemerlang dari sudut akademik, tetapi juga berilmu, berakhlak dan berjiwa Islam. Kata-kata yang sering diulang oleh warga pendidik An-Najaah ialah:
“Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah.”
Dan inilah pegangan yang memandu warga An-Najaah sejak 1996 hingga ke hari ini dalam mendidik dengan sabar dan istiqamah, bersama ibu bapa dan komuniti dalam membina generasi rabbani yang seimbang dunia dan akhirat.